Salam. Alhamdulillah dapat aku mencoret kembali ketika masih dalam suasana hari raya. Hari ni aku mula berpuasa sunat Syawal bersama anakku Adilah. Isteriku dah tak larat sebab tengah sarat 9 bulan. Kesian jugak aku melihatnya. Aku cuma mampu membantu sekadar kemampuanku dan aku berdoa semoga Allah mempermudahkan urusannya.
Seperti biasa, raya pertama aku beraya di rumah mertuaku di Kuala Selangor. Almaklumlah itu saja ibuku yang masih di dunia ini. Walau apapun, ianya tetap meriah walaupun teringat orang-orang yang telah mendahuluiku. Selepas majlis 'salaman', kami 'baraan' ke rumah sanak-saudara terdekat di sekitar Kuala Selangor dan Tanjung Karang sehingga raya kedua.
Raya ketiga, aku sekeluarga berangkat ke kampungku di Melaka. Alhamdulillah aku masih punyai emak dan bapa saudara sebelah ibuku. Cuma tahun ini aku sedikit hiba melihat keadaan kesihatan mereka yang semakin berkurangan. Busu Nah (panggilan untuk emak saudaraku) kena mini strok menyebabkan kakinya terpaksa mengensot untuk berjalan. Walaupun kudrat dah tak sekuat dulu, namun kegembiraan menerima kepulangan kami tidak pernah luntur. Sedaya-upaya melayan kami dengan keadaan kaki mengensot.
Pak Ngah (panggilan untuk bapa saudaraku) pula walaupun fizikal tampak sihat, tapi matanya sudah semakin kabur. Katanya dah tak berani pandu kereta. Terpaksa mengharapkan ehsan anak-anak. Namun begitu, masih bersemangat dengan cerita berkaitan isu-isu semasa.
Kami juga berkunjung ke rumah saudara-mara yang lain. Biasalah bila sesekali pulang ke kampung. Macam-macam ada.... Bab tanah la, bab pusaka la, bab politik melayu la dan yang terhebat ialah bab keturunan. Bab ni kalau 7 hari 7 malam cerita pun tak habis. Bermula dari zaman Parameswara, masuk ke zaman Hang Tuah, Raja Haji, Wali Songo, Bugis hinggalah ke anak cucunya. Anak-anakku selalu bertanya kepadaku,"Betul ke cerita Pak Long tu?" Aku jawab,"Wallahua'lam".
Raya kelima dan seterusnya, kami beraya di sekitar Lembah Klang terutamanya ke rumah kakak-kakak dan adikku serta menerima kehadiran saudara-mara ke teratak usang kami.
Ya Allah, jadikanlah diriku, isteriku, anak-anakku dan keturunanku di kalangan orang-orang yang soleh. Amiin...
No comments:
Post a Comment