Tuesday, December 1, 2009

Salam Korban

Salam...

Alhamdulillah kami sekeluarga dapat menyempurnakan ibadah korban dengan menyumbang satu bahagian lembu atas nama isteriku. Program penyembelihan diadakan di perkarangan rumah Wak Kasiran, Jalan Paip di bawah anjuran UDM Kampung Haji Mohd Shariff. Keseluruhannya sebanyak empat ekor lembu dikorbankan.


Sambutan dari penduduk sekitar bersama ahli-ahli PAS UDM Kampung Haji Shariff amat memberangsangkan dan memberi suntikan semangat kepada semua yang hadir. Program yang dimulai dengan tazkirah ringkas dan santai oleh Prof Madya Dr Habib Mat Som menambahkan lagi keceriaan dan motivasi kepada semua hadirin.

Di masa yang sama, kami turut menyumbangkan dua bahagian lembu sebagai aqiqah untuk anak baru kami, Izzuddin. Cuma ianya tidak dibuat di sini sebaliknya kami hulurkan kepada umat Islam di Kemboja.

Kami sedar pengorbanan yang kami beri ini masih tidak setimpal dan jauh dari pengorbanan yang diberikan oleh baginda Rasul s.a.w. dan para sahabat baginda dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Namun kami mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. agar menerima amal kami yang sedikit ini sebagai bekalan ketika mengadap di hadapan-Nya di mahsyar nanti, insya Allah.

Ya Allah, terimalah dari amalan korban kami yang sedikit ini dan janganlah Kau jadikan kami di kalangan orang-orang yang rugi, Amiinn...

Saturday, November 28, 2009

Perubahan Ke Arah Kebaikan

Salam...

Aku takde nak cerita apa-apa. Sekadar aku sertakan persembahan anak-anak Sekolah Islam Al Farabi yang baru lagi inovatif. Walaupun mereka bukannya profesional dari sudut persembahan tetapi tanda awal yang memberangsangkan. Aku berbangga dengan perubahan minda guru-gurunya yang tidak terikat dengan pemikiran tradisional. Semoga anak-anak Al Farabi Meru juga akan terus berfikiran terbuka dan menyayangi sekolah mereka

Inilah yang dimahukan oleh umat hari ini yang tidak membataskan Islam di satu sudut yang terpinggir... Saksikanlah...


Monday, November 23, 2009

Anugerah Kecemerlangan 2009

Salam.. Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah yang telah mengurniakan kecemerlangan kepada anak-anakku di dalam peperiksaan akhir tahun mereka.

Pertama, Asma' yang bersekolah di PASTI Al Munawwarah menduduki tempat kedua di dalam kelas dalam peperiksaan akhir tahun dan mendapat markah penuh dalam lima subjek. Kedua, Najihah dalam Tahun 3 bersekolah di Sekolah Islam Al Farabi, Meru mendapat tempat pertama dalam kelas dan keseluruhan dan berjaya mengekalkannya tiga tahun berturut-turut. Ku doakan agar Najihah terus istiqamah dalam pelajarannya.

Ketiga, Arif dalam Tahun 5 mendapat 3A 2B untuk subjek akedemik dan Jayyid Jiddan dalam Diniah. Perlu lebih usaha, istiqamah dan lebih bersiap-siaga untuk menghadapi ujian sebenar dalam Tahun 6 nanti.

Dan yang paling menggembirakan kami sekeluarga, Adilah yang telah mendapat 5A dalam UPSR dan Mumtaz dalam PSRA. Juga terpilih sebagai Tokoh Murid 2009 Sekolah Islam Al Farabi, Meru. Aku tidak berniat untuk membangga diri tapi kejayaannya turut dikongsi bersama oleh rakan-rakan dan guru-gurunya. Aku amat terhutang budi dengan mereka yang banyak membantu menyuntik semangat dan komitmen Adilah untuk meraih kejayaan.

Namun, bagiku kejayaan dunia ini hanyalah sementara dan tidak mutlak. Ianya sekadar peristiwa manis yang pasti berlalu menjadi sejarah yang tidak dilupakan. Aku mengharapkan agar anak-anakku bukan sahaja cemerlang di dunia tetapi juga cemerlang di akhirat yang kekal abadi. Wallahua'lam...

Ya Allah, kurniakanlah kami kecemrlangan di dunia dan kurniakanlah kami kecemerlangan di akhirat serta jauhkan kami dari azab seksa kuburmu yang panas membara. Amiin...

Friday, November 20, 2009

Novel Islam

Salam.. sebulan aku tak update blog.. alhamdulillah hari ni berkesempatan..

Antara kegemaranku membaca buku-buku atau artikel yang berkaitan kehidupan peribadi seseorang khususnya tokoh-tokoh yang ternama. Tidak kira sama ada tokoh terdahulu mahu pun mutakhir. Kehidupan mereka boleh dijadikan panduan dan semangat untuk kita menelusuri perjalanan hidup yang penuh dugaan ini.


Di waktu ini, aku telahpun khatam membaca 2 novel pejuang Islam iaitu Ikramah Abu Jahal dan Muhammad Al Fateh. Sekarang aku sedang cuba memenuhkan masaku membaca kisah hidup Tariq Ziyad, panglima Islam yang berjaya menakluki bumi Andalusia.

Apa yang menarik, penceritaan melalui novel-novel karya Abdul Latip Talib ini amat menarik. Jarang aku ketemu buku-buku diari kehidupan tokoh-tokoh terkemuka diceritakan dalam bentuk novel. Itu yang membuatkan aku teruja. Isteri dan anakku juga gemar membacanya.

Moga Allah kurniakan aku dan keluargaku kekuatan dan keberkatan dari pembacaan novel-novel yang bermanfaat seperti ini, insya Allah...


Ya Allah, kurniakanlah kami kekuatan dan kebijaksanaan seperti mana yang telah Engkau kurniakan kepada hamba-hambaMu yang terdahulu. Amiin...

Thursday, October 29, 2009

Demam Kuning @ Jaundice @ Jondis

Salam...

Alhamdulillah masih dikurniakan Allah umur dan kesihatan.

2-3 hari kebelakangan ni, aku agak sibuk dan terkejar-kejar kerana Izzuddin, anak baruku disahkan mengidap demam kuning atau jondis. Kadar kekuningannya yang agak tinggi memaksa Izzuddin ditahan wad di KPJ Selangor Specialist Hospital.

Aku terpaksa menyelesai dan menyusun beberapa rutin harian yang lazimnya dibuat oleh isteriku. Almaklum isteri masih dalam pantang dan belum pulih sepenuhnya. Namun aku redha dengan ujian Allah yang sedikit ini.

Dan Alhamdulillah, Izzuddin telah dibenarkan pulang semalam.


Ya Allah, hanya Engkau yang layak disembah dan hanya Engkau tempatku memohon pertolongan. Amiin...

Saturday, October 24, 2009

Disiplin senaman

Salam...

Pagi ni aku sempat bersenam di kawasan rekreasi Setia Alam. Lama jugak aku tak 'turun padang' semenjak isteriku disahkan mengandung. Kelazimannya kami bersenam sekeluarga. Baru laa semangat sikit....

Kebiasaannya di hujung minggu, agak ramai yang mengambil peluang ke taman-taman rekreasi untuk bersenam dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh merehatkan badan dan minda. Ada juga yang mengambil peluang bersama dengan ahli keluarga.



Namun terdapat segolongan manusia yang paling rajin bersenam untuk menyihatkan tubuh badan. Itulah orang-orang tua berbangsa Tionghua. Mereka cukup rajin bersenam dan menjaga kesihatan. Dan yang paling menarik, mereka mengikuti disiplin senaman yang agak teratur seperti Taichi, Wushu dan senaman diiringi muzik. Nampak mereka bersungguh dan tidak melulu dalam menjaga kesihatan.





Berbanding bangsa Melayu, dahlah kurang bersenam (terutama yang dah berusia). Kadang-kadang teknik senaman pun hentam keromo. Yang tahu, turun padang terus jogging tanpa stretching dan warm-up. Jogging juga ada risikonya jika tidak dengan kaedah yang betul.



Bukan nak kata orang. Aku pun sama. Kadang-kadang terpaksa memaksa diri untuk melakukan senaman. Ada kalanya bini aku pun 'bising' bila lihat perutku mula nak mem'busung'. Nampaknya aku mesti istiqamah melakukan senaman.


Ya Allah, kurniakan aku kesihatan badan untuk beribadat kepadaMu. Amiin...

Wednesday, October 21, 2009

Izzuddin


Salam....

Izzuddin. Itulah nama yang tercatat dalam dokumen kelahiran anakku yang ke tujuh. Ya, itulah nama yang telah aku simpan dalam benak pemikiranku sekiranya Allah mengurniakan anak lelaki.

Nama itu aku pilih setelah meneliti beberapa nama lain. Sememangnya kebiasaan anak-anak lelakiku mesti namanya diakhiri dengan '...din' yang membawa makna agama atau cara hidup. Anak lelaki pertamaku Naimuddin dan yang kedua Arifuddin. Kini yang ketiga, Izzuddin yang bermaksud kemuliaan agama/cara hidup.



Nama Izzuddin juga dipilih bersumberkan kepada tokoh ulama yang menjadi sumber inspirasi perjuangan Palestin khususnya HAMAS. Izzuddin Al Qassam adalah nama yang dijadikan obor semangat pejuang-pejuang HAMAS sehingga diabadikan satu briged di dalam HAMAS menggunakan namanya.

Hanya aku berharap kepada Allah, agar nama-nama yang kuberikan kepada anak-anak lelakiku selaras dengan syakhsiyyah mereka, Insya Allah.

Ya Allah, jadikanlah kami dikalangan orang-orang yang mencintaiMu, rasulMu dan orang-rang yang mencintaiMu, Amiin...