Thursday, October 29, 2009

Demam Kuning @ Jaundice @ Jondis

Salam...

Alhamdulillah masih dikurniakan Allah umur dan kesihatan.

2-3 hari kebelakangan ni, aku agak sibuk dan terkejar-kejar kerana Izzuddin, anak baruku disahkan mengidap demam kuning atau jondis. Kadar kekuningannya yang agak tinggi memaksa Izzuddin ditahan wad di KPJ Selangor Specialist Hospital.

Aku terpaksa menyelesai dan menyusun beberapa rutin harian yang lazimnya dibuat oleh isteriku. Almaklum isteri masih dalam pantang dan belum pulih sepenuhnya. Namun aku redha dengan ujian Allah yang sedikit ini.

Dan Alhamdulillah, Izzuddin telah dibenarkan pulang semalam.


Ya Allah, hanya Engkau yang layak disembah dan hanya Engkau tempatku memohon pertolongan. Amiin...

Saturday, October 24, 2009

Disiplin senaman

Salam...

Pagi ni aku sempat bersenam di kawasan rekreasi Setia Alam. Lama jugak aku tak 'turun padang' semenjak isteriku disahkan mengandung. Kelazimannya kami bersenam sekeluarga. Baru laa semangat sikit....

Kebiasaannya di hujung minggu, agak ramai yang mengambil peluang ke taman-taman rekreasi untuk bersenam dan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh merehatkan badan dan minda. Ada juga yang mengambil peluang bersama dengan ahli keluarga.



Namun terdapat segolongan manusia yang paling rajin bersenam untuk menyihatkan tubuh badan. Itulah orang-orang tua berbangsa Tionghua. Mereka cukup rajin bersenam dan menjaga kesihatan. Dan yang paling menarik, mereka mengikuti disiplin senaman yang agak teratur seperti Taichi, Wushu dan senaman diiringi muzik. Nampak mereka bersungguh dan tidak melulu dalam menjaga kesihatan.





Berbanding bangsa Melayu, dahlah kurang bersenam (terutama yang dah berusia). Kadang-kadang teknik senaman pun hentam keromo. Yang tahu, turun padang terus jogging tanpa stretching dan warm-up. Jogging juga ada risikonya jika tidak dengan kaedah yang betul.



Bukan nak kata orang. Aku pun sama. Kadang-kadang terpaksa memaksa diri untuk melakukan senaman. Ada kalanya bini aku pun 'bising' bila lihat perutku mula nak mem'busung'. Nampaknya aku mesti istiqamah melakukan senaman.


Ya Allah, kurniakan aku kesihatan badan untuk beribadat kepadaMu. Amiin...

Wednesday, October 21, 2009

Izzuddin


Salam....

Izzuddin. Itulah nama yang tercatat dalam dokumen kelahiran anakku yang ke tujuh. Ya, itulah nama yang telah aku simpan dalam benak pemikiranku sekiranya Allah mengurniakan anak lelaki.

Nama itu aku pilih setelah meneliti beberapa nama lain. Sememangnya kebiasaan anak-anak lelakiku mesti namanya diakhiri dengan '...din' yang membawa makna agama atau cara hidup. Anak lelaki pertamaku Naimuddin dan yang kedua Arifuddin. Kini yang ketiga, Izzuddin yang bermaksud kemuliaan agama/cara hidup.



Nama Izzuddin juga dipilih bersumberkan kepada tokoh ulama yang menjadi sumber inspirasi perjuangan Palestin khususnya HAMAS. Izzuddin Al Qassam adalah nama yang dijadikan obor semangat pejuang-pejuang HAMAS sehingga diabadikan satu briged di dalam HAMAS menggunakan namanya.

Hanya aku berharap kepada Allah, agar nama-nama yang kuberikan kepada anak-anak lelakiku selaras dengan syakhsiyyah mereka, Insya Allah.

Ya Allah, jadikanlah kami dikalangan orang-orang yang mencintaiMu, rasulMu dan orang-rang yang mencintaiMu, Amiin...

Monday, October 19, 2009

Alhamdulillah

Salam...

Tiada kata yang lebih layak untuk aku ucapkan melainkan ucapan Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas kelahiran anakku yang ke tujuh.



Segalal-galanya berlaku tepat jam 10.46 malam, 18 Oktober 2009 bersamaan 29 Syawal 1420 hijrah. Bertempat di bilik bersalin Selangor Medical Center, Shah Alam. Berjantina lelaki dengan berat 2.75 kg. Alhamdulillah, kedua-dua ibu dan anak sihat.



Hanya kepada Engkaulah sahaja Ya Allah yang selayaknya hambaMu memuja dan memuji. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Syukur....

Ya Allah, Segala puja dan puji hanya kepadaMu, Tuhan yang memiliki alam ini. Amiin...

Sunday, October 18, 2009

Kentrong Raya

Salam. Ketemu lagi...

Malam tadi aku menghadiri tiga undangan jamuan terbuka hari raya. Pertama anjuran taman aku sendiri. Kedua dan ketiga anjuran Unit Daerah Mengundi(UDM) sekitar Meru. Aku bersama isteri dan anak-anakku hadir undangan yang pertama dan kedua saja. Selebihnya aku hanya bersama anak jantanku, Arif.

Isteriku masih dalam keadaan berjaga-jaga. Perlu banyak berehat untuk mengurangkan rasa sakit. Hari ini dah masuk tiga hari overdue. Sekiranya masih tiada apa-apa, esok adalah hari terakhir doktor memberi tempoh. Seperti biasa, hanya doa yang mampu aku iringkan buat isteri dan anak yang dikandungnya.

Satu perkara yang nak aku ceritakan di sini berkaitan jamuan semalam. Secara umumnya boleh dikatakan biasa saja seperti jamuan hari raya yang lain. Hidangannya juga hampir sama. Nasi himpit dan kuah kacang ibarat prasyaratnya. Cuma yang paling aku tertarik sekali ketika aku hadir ke jamuan di UDM Kampung Nenas. Ada satu 'hidangan' istimewa. Tak lain dan tak bukan, tetamu di'jamu'kan dengan dendangan Kentrong.




Apa kentrong tu ? Aku pun tak tahu sebab aku bukan Jawa. Cuma yang aku tahu, ia adalah kumpulan gendang yang diiringi dengan nyanyian. Sebab perubahan zaman, lagunya dialunkan dalam bahasa Melayu walaupun lahjah Jawa. 1Malaysia laa katakan.... Layanlah gambar yang aku sertakan ni. Yang baiknya, lagu-lagu yang didendangkan semalam semuanya berlirik nasihat dan galakan mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Itulah yang lebih aula sebagai halwa telinga dan penyuntik semangat bagi orang-orang yang mahu berfikir.

Ya Allah, peliharalah pendengaran dan penglihatan kami dari mendengar dan melihat perkara yang Engkau murkai. Amiin..

Wednesday, October 14, 2009

Tempoh Berjaga-jaga

Salam...

Alhamdulillah. Lama betul aku tak kemaskini blog ni. Nak kata malas, tak la malas. Nak kata rajin, tak rajin jugak. Apa nak kata, kata laa...



Walau apapun aku bersyukur kerana masih dapat mengemaskini blog kesayangan aku ni. Sekarang ni, aku dalam tempoh berjaga-jaga. Isteriku dijangka bersalin pada bila-bila masa. Suspen jugak dibuatnya walaupun ini kelahiran yang ketujuh. Cuma kali ini betul-betul menguji kesabaranku dan isteri kesayanganku. Bukan apa, kebiasaannya anak-anakku lahir awal dari tarikh yang dijangka. Tapi sekarang, tarikh jangkaan hampir tamat tapi masih nak bermain dalam perut ibunya...

Sebagai seorang suami, aku hanya mampu berdoa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kekuatan dan kesihatan kepada isteri dan anak yang dikandungnya. Amiin...

Ya Allah, permudahkan urusan kami dan janganlah Engkau menyusahkannya. Amiin...

Thursday, October 1, 2009

Aku Benci Rasuah

Salam....

Tak lama lagi, akan berlangsung pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan. Ini pilihanraya kecil yang ke 8 selepas PRU pada Mac tahun lepas.
Bila sebut pilihanraya ni, bab yang paling aku benci ialah rasuah. Ada macam-macam bentuk rasuah seperti rasuah duit, projek, basikal, kain pelikat dan lain-lain lagi yang orang pakar beri rasuah yang tahu senaraikan. Siapa dia ? Satu dunia dah tahu...
Namun PRK kali ini adalah kemuncaknya apabila seorang calon yang telah terbukti memberi rasuah telah diangkat sebagai calon. Siapa dia dan dari parti mana ? Satu dunia dah tahu dan apa lagi kalau calonnya bukan dari parti pakar rasuah.
Minta maaflah kali ini aku berpolitik di ruangan ini. Bukan apa tapi hangat hati apabila pengundi Bagan Pinang diminta parti rasuah untuk memilih pemimpin rasuah. Tak ada orang lain ke yang lebih baik ?
Oleh itu, aku mengharapkan agar orang Bagan Pinang yang bijak pandai, pilihlah pemimpin anda yang bukan dikalangan perasuah. Siapa dia ? Rujuk profailnya di bawah.


Nama : Zulkefly Mohamad Bin Haji Omar
Tempat Lahir : Lenggeng, Negeri Sembilan
Tarikh Lahir : 14 Mei 1964 (45 tahun)
Nama Isteri : Saeiah bt Tarmizi
Bilangan Anak :6 orang (4 Lelaki 2 Perempuan)

Latar Belakang Pendidikan
Ijazah Sarjana Sains (Master In Science – Corporat Communication), Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) UiTM

Latar Belakang Politik Dalam PAS
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2007 - )
Mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan (2005 – 2007)
Mantan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan (2003 – 2005)
Mantan Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (2001 – 2005)
Mantan Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (2004 – 2005)
Mantan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan (2001 – 2004)
Mantan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (1999 - 2001)
Mantan Penolong Setiausaha PAS Kawasan Seremban (1998 – 2000)

Latar Belakang Kerjaya
Pengarah Urusan / Konsultan Syarikat L & R Enterprise Sdn.Bhd
Mantan Pengurus Kanan (Perniagaan) – IS Technologies Sdn.Bhd (1999 – 2004)
Mantan Ketua Bahagian (Market Planning-C & B) – Telekom Malaysia
Mantan Eksekutif Perhubungan Korporat Pusat Zakat Selangor
Mantan Pegawai Perhubungan Ko-operasi Celcom
Mantan Biro Perkhidmatan Angkasa

Latar Belakang Organisasi NGO
Pengerusi No Incinerator Broga (Negeri Sembilan-Selangor)
Penasihat Persatuan Penduduk Tiang / Sri Petaling, Jelebu Negeri Sembilan
Penasihat Kelab Penyokong PAS (Mantin, Ulu Branang,Broga)
Timbalan Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Cawangan Negeri Sembilan
Penasihat Persatuan Penjaja Ayam (Pasar Seremban)
Penasihat Jawatankuasa Bertindak Getco, Jeleb


Ya Allah, kurniakanlah kemenangan kepada orangf-orang yang benar atas jalanMu. Amiin

Gempa & Tsunami

Salam. Alhamdulillah masih dikurniakan Allah usia...
Dalam tempoh seminggu ini, berlaku dua gempa bumi di sekitar negara kita. Pertama, berlaku di Kepulauan Samoa yang turut mengakibatkan tsunami. Sehingga kini disahkan 113 orang terbunuh.





Kedua, gempa bumi di Sumatera Barat. Bandar Padang adalah kawasan yang paling terjejas teruk dan hingga kini dianggarkan 200 orang telah terkorban. Diramalkan pada peringkat awal akan berlakunya tsunami tetapi amaran telah ditarik balik.




Terasa gerun juga di hatiku terutamanya bila kejadian gempa di Sumatera itu. Teringat aku amalan sedikit yang hendak aku bawa bertemu Allah kalau aku salah seorang mangsanya. Bak kata ustaz yang kuliah di tempat kerjaku, setiap 100 orang hanya seorang saja yang akan ke syurga dan 99 orang lagi ke neraka. Akukah antara 99 orang itu? Ada hikmahnya kejadian seperti ini dari Allah untuk mengingatkan umat manusia akan tanggngjawab mereka kepada Yang Maha Perkasa....

Ya Allah, janganlah Engkau bebankan aku sesuatu yang tidak mampu aku memikulnya. Amiin..