Sunday, July 5, 2009

Hari Minggu Yang Meletihkan


Salam. Mataku semakin kuyu. Jam menghampiri 11.10 malam. Aku gagahkan juga tangan untuk terus mencoret. Rasa semacam ada yang kurang kalau tak buka blog.
Setelah pulang dari rumah mertuaku di Kuala Selangor, terus bersiap untuk ke Banting menghantar anak sulungku balik ke asrama. Sempat juga aku dan isteriku memberi kata-kata nasihat dan semangat kepadanya sepanjang perjalanan ke sana. Tiada harapan yang lebih tinggi melainkan melihat anak sulungku berjaya di dunia dan akhirat. Buat masa ini, dialah satu-satunya anakku yang menghafaz AlQuran secara formal. Aku sering berpesan kepadanya fadhilat atau kelebihan orang yang menghafaz AlQuran khususnya dapat memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya di padang mahsyar nanti.
Selepas maghrib, bersiap pula membawa keluarga menjamu selera di Shah Alam. Bukan aku sahaja rupanya yang letih. Anak-anakku juga letih khususnya Asma' yang penat bermain dengan sepupunya ketika di Kuala Selangor. Aku faham bukannya selalu ketemu dengan mereka.
Namun aku puas sekiranya kepenatan aku ini dapat mendatangkan manfaat kepada ahli keluargaku. Biarlah aku penat asalkan isteri dan anak-anakku gembira dan bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan.

Ya Allah, golongkanlah kami di kalangan hambaMu yang tahu bersyukur. Amiin.

No comments: