Salam. Sambil berehat, aku berkesempatan mencoret sebentar setelah non-stop 'bekerja'.
Alhamdulillah, pagi Sabtu ini, masaku terisi seusai solat Subuh dengan sedikit zikir, tilawah Al Quran, senaman ringan dan membersihkan rumah. Begitu juga isteri dan anak-anakku. Amirah, anakku yang sulung pun ada. Dapat pelepasan sekolah untuk balik ke rumah. Sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban umminya melaksanakan kerja-kerja rumah. Maklumlah, umminya sedang sarat mengandung 6 bulan.
Sekitar 10 pagi, kami ke hypermarket untuk membeli keperluan dapur. Kami tidak ke hypermarket yang terdekat tetapi menuju ke destinasi yang lebih jauh sedikit. Bukan apa, memenuhi tuntutan umat Islam yang memboikot hypermarket tersebut akibat sumbangannya kepada perjuangan Yahudi. Anakku yang bongsu pun tahu dan sering ingatkanku," Walid, tak bole pergi situ. Boikot !" walaupun dia kurang mengerti alasan umat Islam memboikotnya.
Begitu juga apabila membeli barang makanan. Tidak kira yang berjenama ataupun tidak. Kami meletakkan prasyarat mesti yang halal JAKIM atau yang diiktiraf serta bukan keluaran syarikat Yahudi. Alhamdulillah, anak-anakku faham dan menerimanya walaupun terpaksa berkorban makanan kegemaran mereka.
Itulah sedikit ingatanku yang mampu aku berikan buat isteri dan anak-anakku, perlunya keprihatinan tentang nasib umat Islam tidak kira di mana mereka berada.
Ya Allah. Kurniakanlah kesejahteraan dan keamanan kepada seluruh umat Islam di bumiMu ini. Amiin..
No comments:
Post a Comment