Wednesday, September 9, 2009

Keutuhan bangunan lama..



Salam. Hari ini aku bercuti. Cutiku bermula semalam hingga esok kerana urusan menghantar anakku dan anak-anak Al Farabi, Meru ke Sekolah Kebangsaan(SKK)untuk menduduki peperiksaan UPSR. Tiada apa yang menarik nak aku coretkan cuma sekadar di SKK ini masih terdapat 2 blok bangunan lama yang masih digunapakai hingga ke hari ini. Dari rekabentuknya, aku rasa usianya menjangkau lebih 50 tahun
Apa yang menjadi daya tarikannya kerana binaannya yang kelihatan kukuh dan tiada kesan retak. Tingkap kayunya juga masih elok dan tidak dimamah anai-anai. Berbeza dengan rumahku. Baru 2-3 tahun dah retak sana-sini. Daun pintu dan tingkap dimakan anai-anai. Wallahua'lam kenapalah sekarang ni semuanya jadi tak berkualiti....

Dan sebenarnya aku dapat cuti berganda. Bukannya cuti lebih tapi bertindih. Selain aku bercuti, aku juga dapat MC sebab sakit mata. Doktor kata 2 hari baik tapi samapai laa ni, masih merah dan tak selesa. Walau bagaimanapun aku redha atas ujian Allah kepadaku. Moga ianya menjadi kaffarah atas dosa-dosa yang aku lakukan....

Ya Allah, jadikanlah ujian yang Kau berikan ke atas diriku ini sebagai asbab untuk aku mendekatkan diri kepada-Mu. Amiin...

Monday, September 7, 2009

Sekolah Islam Al Farabi, Meru (Bahagian III)







Salam. Alhamdulillah selesai sudah program yang dinanti-nantikan. Perjalanannya berjaya dan mendapat sambutan. Kesudian YB Dr Halimah untuk hadir dalam keadaannya yang sentiasa sibuk sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor menyuntik semangat yang membara di kalangan warga Al Farabi, Meru. Ucapan, galakan dan nasihat yang beliau sampaikan akan dijadikan asas untuk Sekolah Islam Al Farabi, Meru terus maju dan berkembang pada masa akan datang. Sokongan dan komitmen Kerjaan Negeri Selangor untuk terus membantu sekolah-sekolah agama rakyat telah memberi nafas keselesaan khususnya kepada warga Al Farabi, Meru.




Aku yang di amanahkan selaku Timbalan Pengarah Program mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Khususnya kepada YB Dr Halimah, Ust Najhan selaku Penasihat program, Sdr Mazuki Musa selaku Pengarah program, Sdr Kahar, Sdr Suhaimi, Hj Junaidi, Hj Jalal, Puan Guru Besar dan ramai lagi yang tidak dapat aku bariskan dalam ruangan yang terbatas ini. Jasa dan pengorbanan kalian hanya Allah lah yang layak membalasnya.


Di kesempatan ini juga, aku ingin mengucapkan jazakallah khairan kathira kepada Ust Mohamad Nor Hisham yang sudi hadir memberikan suntikan motivasi terakhir kepada anak-anak Al Farabi, Meru yang bakal menduduki UPSR bermula Selasa ini selain mengimami solat Isya', solat sunat Tarawih dan Hajat walaupun dalam situasi kurang sihat. Mudah-mudahan Allah memberkati jasa dan usaha yang berbahgia ustaz.
Buat anak-anak Al Farabi, Meru didoakan semoga kalian diberi kelapangan dada dan ketenangan jiwa untuk menghadapi UPSR esok khasnya anakku, Nur Adilah. Walid doakan Adilah berjaya dengan cemerlang, Insya Allah.


Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan hamba-Mu yang mengenal erti bersyukur dan jangan masukkan kami di kalangan orang-orang yang kufur. Amiin...

Sakit Mata


Salam. Dalam keadaan sibuk menguruskan program Iftar bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor di sekolah anak-anakku, aku dan empat dari 6 orang anak-anakku sakit mata. Mata merah, gatal dan berair. Anakku yang sulung, Amirah diarah balik oleh gurunya kerana bimbang berjangkit kepada yang lain.

Mataku mula terasa berair dan gatal bermula pagi Ahad. Tapi aku gahkan jua diriku untuk hadir ke program iftar dan berusaha untuk hadir ke pejabat Isnin ini. Almaklumlah ada kerja yang perlu aku siapkan sebelum bercuti tiga hari sempena UPSR.
Pihak sekolah mengamanahkan aku dan beberapa orang sahabatku untuk menghantar anak-anak Sekolah Islam Al Farabi, Meru ke SK Bandar Klang untuk menduduki UPSR kerana terpaksa menumpang di sekolah tersebut.
Tiada masalah bagiku selagi kudrat termampu...

Ya Allah, kurniakan aku kekuatan iman dan jasad untuk aku berkhidmat dan berjuang atas landasan jalan-Mu. Amiin...

Saturday, September 5, 2009

Sekolah Islam Al Farabi, Meru (Bahagian II)





Salam. Badanku terasa sakit-sakit. Penat menghantui diri. Tapi aku rasa puas kerana dapat menyumbang masa dan tenaga untuk sekolah anak-anakku.
Sebenarnya hari ini pihak sekolah menganjurkan gotong-royong sebagai persediaan untuk majlis iftar bersama YB Halimah Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor bersama anak-anak yatim yang akan diadakan di kawasan perkarangan sekolah esok. Pelbagai perkara perlu dibuat. Almaklumlah bukan senang seorang VIP nak datang ke sekolah swasta yang serba kekurangan ni. Dan ini juga satu penghormatan yang amat bermakna bagi pihak sekolah....

Hampir semua pihak terlibat dalam gotong-royong dari pelajar, guru, ibubapa, PIBG hinggalah Ahli Lembaga Pengelola sekolah. Semuanya menampilkan komitmen yang tinggi untuk memastikan program berjalan lancar. Insya Allah pagi esok akan bersambung lagi untuk 'final touch up'.
Aku amat berbangga dengan kesungguhan mereka yang terlibat walaupun di bulan puasa. Lapar dan dahaga bukan penghalang untuk memberi khidmat yang terbaik. Hanya Allah yang mampu membalasnya..

Ya Allah, kurniakan kami kesihatan dan keikhlasan untuk terus berbakti kepada agama-Mu. Amiin...

Friday, September 4, 2009

Sekolah Islam Al Farabi, Meru



Salam. Dua malam berturut-turut aku turun ke Sekolah Islam Al Farabi, Meru untuk hadiri mesyuarat. Mesyuarat pertama membincangkan persediaan program iftar bersama Exco Kerajaan Selangor, YB Dr Halimah bersama anak-anak yatim dan kedua, soal kedudukan kewangan dan masa depan sekolah.
Sekolah inilah yang membesar dan mendidik hampir ke semua anak-anakku. Sekolah yang memberi makna besar dalam hidupku dan ahli keluargaku. Walaupun agak serba kekurangan, maklum sajalah sekolah swasta, namun komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak sungguh memberi kesan dalam kehidupan kami sekeluarga. Di sinilah anak-anakku dididik dengan ilmu akedemik dan islami.
Atas dasar itu, jasa besar yang dicurahkan oleh sekolah ini perlu aku balas dengan kemampuan dan kudrat yang aku miliki. Sekalung penghargaan kepada seluruh ahli lembaga pengelola dan guru-guru Sekolah Islam Al Farabi Meru. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan sumbangan kalian...


Ya Allah, jadikanlah kami dikalangan orang-orang yang sabar dan mendirikan solat. Amiin...

Wednesday, September 2, 2009

Kehilangan...

Salam. Sebenarnya aku tak tahu apa nak dicoret. Lagipun, selepas persekolahan bermula, perasaanku sedikit terasa. Semacam terasa kehilangan. Ya memang betul, memang aku terasa ada sesuatu yang hilang....

Bila Amirah dan Naim balik ke asrama masing-masing di MITIB dan As Sofa, rumahku terasa sedikit sunyi. Keletah mereka bermain dan berkelahi dengan adik-adiknya memuramkan sedikit suasana. Adik mereka, Arif pun sebut tak best sebab tak de kawan nak berkelahi. Tahun depan, jika diizinkan Allah, Adilah pula akan ke asrama. Makin berkuranglah penghuni rumah yang tinggal....
Itulah lumrah kehidupan. Semakin usiaku memanjat tinggi, semakin rendah perasaan ini. Hilai ketawa anak-anakku ibarat akan semakin hilang dibawa suasana. Aku perlu lalui semua ini walaupun hati berat untuk menerimanya...
Ya Allah, Kau berkati perjalanan hidupku dan ahli keluargaku sebagaimana Kau berkati perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dah ahli keluarganya. Amiin...






Tuesday, September 1, 2009

Ramadhan Kareem




Salam. Segala puja dan puji selayaknya hanya untuk Allah s.w.t. Lebih sebulan aku tak update blog ni. Bukannya sibuk tapi buat-buat sibuk.
Akhirnya di bulan Ramadhan yang mulia lagi diberkati ini, dapat semula aku melayari dan mengemaskini laman blog ni.
Pada tahun ini, kebetulan Ramadhan bermula sama dengan permulaan cuti sekolah. Maka meriahlah rumah aku bila semuanya dapat berkumpul. Amirah dan Naim pun dapat berpuasa bersama.
Tahun ini juga, kami dapat bertadarus bersama. Buat pertama kalinya, aku metakkan sasaran untuk khatam dalam tempoh seminggu sepanjang cuti sekolah ini. Alhamdulillah, walaupun tidak sempat khatam tetapi berakhir di juzu' 28 sebelum Naim dan Amirah pulang ke asrama masing-masing. Insya Allah aku, isteri dan anak-anakku yang lain akan meneruskannya. Tiada ucapan yang lebih baik untuk aku ucapkan melainkan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan. Amiin.





Ya Allah peliharalah diri kami dan ahli keluarga kami dari bakaran api nerak-Mu. Amiin...